Menggambar, Membuat Corak dan Rekaan (Navigating and Connecting)
Menggambar merupakan bidang yang menggunakan pelbagai alat dan bahan untuk menghasilkan gambar mengikut cara ekspresi mereka yang tersendiri. Hal ini dapat membantu perkembangan murid dari aspek psikomotor dan emosi serta penting bagi keperluan fisiologi dan psikologi mereka. Semasa menggambar, murid dapat mengalami pengalaman langsung dengan deria mereka mengenai subjek atau perihal benda yang digambarkan. Situasi ini membantu mereka dalam memahami sesuatu idea, menghubungkaitkan antara satu idea dengan idea yang lain atau dengan pengetahuan dalam pelbagai mata pelajaran dan membina idea baru daripada benda konkrit. Aktiviti menggambar akan menjadi lebih mudah direka bentuk supaya sesuai dengan perkembangan fizikal, mental, sosial, emosi, intelek dan estetik. Penyampaian kandungan subjek atau perihal benda melalui pelbagai alat, bahan, teknik dan cara pengolahan akan memberi peluang kepada murid membuat hubung kait yang bermakna, mengembangkan imaginasi, fantasi, kreativiti dan ekspresi diri mereka. Bidang kegiatan ini meningkatkan perkembangan persepsi dan kemahiran serta kemampuan murid terhadap aspek melukis dan kegiatan membuat gambar dengan pelbagai media dan teknik yang menekankan aspek ruang, struktur, imbangan dan komposisi.
Bidang membuat corak dan rekaan pula membolehkan pelajar mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam dan kehidupan seharian. Kegiatan ini memberi peluang kepada mereka memahami pelbagai cara untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan rekaan tersebut boleh juga dipadankan kepada mana-mana hasil daripada bidang kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya. Bahagian ini juga menekankan kegiatan mengenal motif dan olahannya untuk menghasilkan rekaan corak tertentu. Kegiatan ini memberi peluang kepada murid membuat rekaan corak tidak terancang, corak terancang dan juga corak tradisional dengan teknik tertentu. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pergerakan, peragaan dan lakonan.